Tawaran ambil alih IJM dibuat berasaskan pertimbangan komersial - Jeffrey Cheah

BeritaHarian Fri, Feb 27, 2026 03:43pm - 1 week View Original


Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. - NSTP/FATHIL ASRI
Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. - NSTP/FATHIL ASRI

PETALING JAYA: Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Bhd, Tan Sri Jeffrey Cheah, menegaskan tawaran pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) dibuat berasaskan pertimbangan komersial semata-mata serta mematuhi peraturan pasaran saham yang ketat.

Beliau berkata, tawaran itu dilaksanakan selaras dengan peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia, selain bersifat sukarela sepenuhnya.

Menurutnya, pemegang saham IJM bebas untuk menerima atau menolak tawaran berkenaan dan dakwaan kononnya berlaku penjualan secara paksaan atau pengambilalihan paksa adalah tidak berasas.

"IJM tertakluk kepada prinsip 'pembeli rela, penjual rela', di mana pemegang saham bebas untuk menerima atau menolak tawaran sehingga tarikh tutup pada 6 April 2026.

"Jika pemegang saham menjual, kami menerima. Jika tidak, kami juga terima dan berjalan seperti biasa. Tiada sebarang paksaan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH), di sini, hari ini.

Jeffrey menjelaskan pasaran saham adalah platform terbuka untuk urus niaga beli dan jual, dan Sunway mengemukakan tawaran itu kerana melihat IJM sebagai kenderaan pelaburan yang menarik pada masa sesuai, tanpa sebarang unsur pengambilalihan secara paksa.

Baru-baru ini, Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bernilai kira-kira RM11 bilion bagi memperoleh keseluruhan saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.

Struktur bayaran tawaran itu merangkumi 10 peratus dalam bentuk tunai dan 90 peratus menerusi penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.

Tawaran berkenaan membabitkan kira-kira 3.51 bilion saham IJM dan akan ditutup pada 6 April 2026, selepas dilancarkan pada 12 Januari lalu.

Sekiranya Sunway berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 90 peratus daripada saham tawaran, kumpulan itu berhasrat melaksanakan hak pengambilalihan wajib bagi baki saham dan seterusnya menyahsenarai IJM daripada Bursa Securities.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.830
SUNMED 1.450
SUNWAY 5.630

Comments

Login to comment.